Khamis, 14 Disember 2017


“buang garam ke laut”

            Peribahasa ialah bidalan, ayat atau kelompok kata yang tetap susunannya dan mempunyai maksud tertentu (Kamus Pelajar Edisi Kedua). Selain itu, peribahasa boleh diertikan sebagai susunan kata yang pendek yang mempunyai makna yang luas, mengadungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya (Za’ba). Peribahasa terbahagi kepada beberapa bahagian seperti simpulan bahasa, kata bidalan, pepatah dan perumpamaan. Terdapat banyak peribahasa dalam bahasa Melayu dan sering dikait dengan situasi yang bersesuaian.

            Peribahasa bahasa Melayu terhasil melalui pelbagai cara seperti perbandingan dengan cerita yang masyhur; timbul hasil pemerhatian orang dahulu terhadap benda-benda yang ada dalam kehidupan mereka; dan lahir hasil kepercayaan masyarakat (SCRIBD). Peribahasa buang garam ke laut bermaksud melaksanakan sesuatu perkara atau membuat sesuatu pekerjaan yang tidak memberikan sebarang faedah. Peribahasa tersebut bersesuaian dengan maksudnya kerana air laut sememangnya bersifat masin. Selain itu, garam dihasilkan daripada air laut yang telah diproses. Oleh itu, dapat dikaitkan walaupun membuang garam ke laut ia tidak memberikan apa-apa manfaat.

            Peribahasa tersebut dapat dikaitkan dengan literasi internet kerana terdapat ramai manusia pada era globalisasi ini menggunakan internet dengan perkara yang tidak berfaedah. Sebagai contoh yang paling dekat ialah kehidupan pelajar universiti. Pihak universti menyediakan kemudahan internet secara percuma kepada pelajar bagi memudahkan pelajar menyiapkan tugasan yang diberi. Namun pelajar menggunakan kemudahan tersebut dengan perkara selain pelajaran seperti melayan cerita secara atas talian dan mengodam akaun media sosial orang lain.


            Rumusnya, peribahasa adalah perkara yang sangat sinonim dengan kehidupan seharian. Hal ini demikian kerana peribahasa terhasil daripada permerhatian orang-orang dahulu terhadap persekitaran mereka. Oleh itu, setiap peribahasa dapat dikaitkan dengan perilaku seseorang atau situasi tertentu yang bersesuaian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan